Menulis

ANALISIS CERITA

Arahan:  Baca petikan di bawah ini dan isikan penyusun grafik yang mengikutinya dengan
      butiran-butiran yang sesuai.

Aqil memang begitu. Sudah beberapa kali ditegur, namun masih tidak berubah. Perangainya betul-betul menyakiti rakan-rakannya. Kelmarin lukisan Zahar diconteng. Zahar tidak berani beritahu Cikgu Radzi. Takut diapa-apakan oleh Aqil. Mahu melawan cakap pun tidak berani, menyedari badannya yang kecil. 

Semalam buku aktiviti Yasmin disembunyikan. Apabila Cikgu Radzi suruh keluarkan buku aktiviti dan salin apa yang tertulis di papan tulis, terkial-kial Yasmin cari. Oleh sebab Yasmin seorang sahaja yang tiada buku, jadi hingga waktu habis, berdirilah Yasmin seorang. Betapa malunya Yasmin. Rasanya hendak menangis. 

Selepas Cikgu Radzi keluar dari kelas menengah 4E7, tiba-tiba Aqil datang dengan membawa buku tersebut. 
“Aku jumpa atas almari tu,” kata Aqil selamba, sambil meletakkan buku tersebut di meja Yasmin. 
“Bohong! Kau sengaja sembunyikan, biar aku dihukum Cikgu Radzi!”
“Siapa kata aku sembunyikan?”
“Alah, kau memang macam tu! Suka sakiti hati orang!” cemuh Yasmin.  

Esoknya, semua pelajar sudah bersedia menanti ketibaan guru.
“Bangun!” laung ketua kelas. Semua pelajar 4E7 bangun.
“Selamat sejahtera, Cikgu!”
“Selamat sejahtera. Duduk,” balas Cikgu Radzi lembut.
“Tugasan semalam, hantarkan. Cikgu yakin semua dah siap,” kata Cikgu 
Radzi. “Orang yang duduk di sebelah belakang, pungut,” tambah Cikgu Radzi. 

Tanpa membuang masa, murid yang duduk di barisan belakang segera memungut tugasan. Namun barisan di sebelah hujung sekali, belum terpungut lagi. 
“Kau pungutlah dulu! Tugasan aku tak ada ni!" kata Aqil sambil mencari-cari 
tugasannya. 
Pelajar yang duduk di depan Aqil patuh permintaan lelaki berbadan gempal itu. Aqil terus mencari tugasannya. Cikgu Radzi mengira jumlah tugasan yang diterima. 
“Ada seorang yang belum hantar! Siapa dia, cepat bangun sebelum saya panggil satu-satu,” kata Cikgu Radzi tegas. 
Mahu tidak mahu, Aqil berdiri. Matanya dibuangkan ke simen. 
“Mana tugasan awak, Aqil?” tanya Cikgu Radzi setelah menghampiri pelajar tersebut. 
“Tadi saya bawa, tapi tak ada bila saya cari,” jawab Aqil. Masih tunduk. Takut melihat muka Cikgu Radzi. 
“Kalau nak bohong pun, carilah alasan lain. Jangan tiru alasan Yasmin,” ujar Cikgu Radzi. 
Yasmin tunduk, malu. Namun, dalam hati terasa puas apabila Aqil dihukum seperti dirinya semalam. 
“Betul cikgu! Saya tak bohong!” luah Aqil dan dipandangnya muka Cikgu Radzi, mencari simpati. Rasa takut telah hilang. Yang penting mesti diterangkan kedudukan yang sebenar. 
“Awak jangan banyak cakap. Awak berdiri sampai loceng berbunyi!” arah Cikgu Radzi. 
Pedih sungguh hati Aqil menerima hukuman tersebut. Di mana hendak disembunyikan mukanya. Baru dia tahu, rasa seperti ini jugalah yang dilalui oleh Zahar dan Yasmin. Tiba-tiba dia rasa kesal atas perbuatannya selama ini. 

(Dipetik dan diubahsuai daripada cerpen “Tahu Tinggi Langit”, Khairuddin Ayip) 

Arahan: Isikan penyusun grafik yang mengikutinya dengan butiran-butiran yang sesuai
      daripada petikan di atas.



















No comments:

Post a Comment